Bulan Kesedaran Disleksia : Keunikan dalam Kesukaran

Oleh: Siti Suhaila dan Sufri Muhammad
28 Oktober 2021



Tahukah anda bahawa Oktober merupakan bulan kesedaran Disleksia? Mengikut statistik terkini, terdapat 1 daripada 5 orang di United Kingdom (UK) di diagnosis sebagai disleksia. Di Amerika pula, 5 hingga 15 peratus penduduk atau 14.5 hingga 43.5 juta yang terdiri daripada kanak-kanak dan dewasa merupakan disleksia. Manakala di Malaysia, masih belum ada rekod atau statistik terkini yang melaporkan jumlah sebenar bilangan kanak-kanak mahupun dewasa disleksia. Namun begitu, berdasarkan data pendidikan khas Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2020, terdapat 13,302 pelajar disleksia direkodkan di sekolah. Data ini juga menunjukkan disleksia merupakan ketiga tertinggi dalam kategori Murid Berkeperluan Khas (MBK) selepas murid kurang upaya intelektual dan Autisme.


Disleksia adalah suatu keadaan di mana, seseorang mengalami masalah pembacaan dan pemahaman. Seseorang itu bagaimanapun, tidak mempunyai masalah dari segi kepintaran (IQ), penglihatan dan juga pendengaran namun masih tidak dapat membaca secara lancar sehingga memberi kesan kepada pembelajaran. Pelajar disleksia juga menghadapi beberapa kesukaran termasuk mengeja dan menulis. Mereka cenderung menulis secara terbalik samada huruf ataupun keseluruhan perkataan. Beberapa huruf yang dikenal pasti termasuk huruf ‘b’ dan ‘d’, huruf ‘m’, ‘n’ dan ‘w’, serta huruf ‘p’ dan ‘q’. Kesukaran mereka dalam menghadapi cabaran pembelajaran dan kealpaan kita sebagai masyarakat untuk memahami pembelajaran yang sesuai mengakibatkan pelajar tersisih dan ketinggalan dalam pembelajaran. Pelajar juga berdepan dengan emosi seperti tertekan, rendah diri, malu dan menyendiri semasa mereka berperang dengan kesukaran tersebut. Terdapat juga beberapa pelajar yang bersifat terlalu gembira atau terlalu banyak bercakap semasa pembelajaran dalam kelas sebagai satu mekanisma menghadapi kesukaran membaca


Walaupun begitu, pelajar disleksia dilihat menunjukkan potensi yang besar dalam bidang seperti perniagaan, lakonan dan juga kesenian. Individu yang berhadapan dengan disleksia telah berjaya dalam bidang masing-masing seperti Steve Jobs (pengasas Apple Inc.), Bill Gates (pengasas Microsoft) dan Dato' Sri Aliff Syukri (pengasas D’Herbs). Di samping itu, Kapten James Anthony Tan merupakan juruterbang muda disleksia, telah mengharumkan nama Malaysia dengan mencipta rekod dunia iaitu terbang secara solo mengelilingi dunia selama 48 jam. Kehebatan mereka dalam bidang yang diceburi merupakan hasil daripada semangat dan juga intervensi yang diberikan di peringkat awal oleh ibu bapa, guru-guru dan juga rakan-rakan.


Dorongan dan sokongan dari semua pihak kepada pelajar disleksia adalah sangat penting bagi membina jati diri mereka terhadap pembelajaran serta keadaan sekeliling. Ayuh semarakkan bulan Disleksia ini dengan membantu pelajar disleksia untuk mencari keunikan dalam kesukaran diri mereka supaya mereka mampu mencapai potensi secara maksimum. Kita mampu mengurangkan stigma dengan meningkatkan pengetahuan terhadap disleksia. Ya! dunia memerlukan pemikiran disleksia.